Akidah : Fitrah Wanita Solehah


Diciptakan wanita dalam bentuk sebaik-baik kejadian dan seindah hiasan di dunia.
Saya cuba membayangkan dunia tanpa wanita, nescaya dunia akan menjadi hambar dan tiada makna.
Begitulah perumpamaan ketinggian nilai seorang wanita. Bagaimana tidak, hampir semua yang dikaitkan dengan dunia adalah berkait rapat dengan wanita khususnya. Lahirnya seorang pemimpin terkemuka dari seorang wanita. Bahkan hadirnya Rasulullah SAW dan semua Nabi melainkan Nabi Adam adalah dari rahim seorang wanita. Pentingnya wanita dalam kehidupan boleh kita lihat dari dambaan Nabi terawal iaitu Nabi Adam tentang kehadiran Hawa, sebagai wanita yang menemani.
Dengan ini, jelaslah bahawa wanita bukan kejadian yang sia-sia. Kita hamba istimewa. Allah SWT menciptakan kita dengan fitrah yang benar-benar diperlukan dunia. Suka untuk saya mengingatkan wanita sekaliannya agar sedar bahawa kita ini kunci harmoninya dunia. Kurangnya kesedaran tentang hakikat ini saya kira merupakan faktor kerosakan dunia yang semakin hari semakin menggugat; yang mana semuanya berpunca dari rosaknya wanita. Fitrah yang dihadiahkan disalah guna malah tidak disyukuri.
Mari kita hayati sejenak ayat dibawah :
فَجَاءتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاء قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا فَلَمَّا جَاءهُ وَقَصَّ عَلَيْهِ الْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ نَجَوْتَ مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (28:25)
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan, ia berkata: “Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar ia memberi balasan terhadap (kebaikan) mu memberi minum (ternak) kami”. Maka tatkala Musa mendatangi bapanya (Syua’ib) dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya). Syu’aib berkata: Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim itu

Berdasarkan ayat di atas, mahu saya tekankan bahawa fitrah seorang wanita itu bersifat pemalu. Cantiknya seorang wanita adalah dari sifat malu yang ada di dalam dirinya. Tinggi maruah seorang wanita itu dek sifat malu yang menebal di dalam  jiwanya.